Sunday, March 25, 2007

 

Buku bisnes mesti beli!


Salam,

Saya perlu mohon berguni-guni kemaafan kepada pembaca semua kerana telah 3 bulan tidak 'update' blog saya. Ini kerana saya banyak menumpu kepada penulisan buku sulung saya, "Mengapa Bisnes Gulung Tikar" terbitan PTS Publications.

Alang-alang saya menulis ni, saya mohon permisi untuk membuat promosi buku saya. Kepada yang meminati bidang bisnes. Sila dapatkan buku yang membicarakan tips-tips bagi mengelakkan bisnes anda gulung tikar. Ada pelbagai kisah benar dari seluruh dunia yang saya selitkan bagi pengajaran kita bersama. Insya Allah, akan diterbitkan akhir Mac ni. Jika anda akan berkunjung ke Pesta Buku Antarabangsa April depan, cubalah cari azimat yang berharga ni!

Untuk maklumat lanjut dan sinopsis buku, layari laman web PTS: www.pts.com.my (bahagian bisnes dan pengurusan).

Beli jangan tak beli...

Sunday, November 26, 2006

 

Penjenamaan

Salam,

Pernah dengar 'branding'? 'Branding' atau penjenamaan adalah satu teknik yang amat berkuasa untuk memacu bisnes anda. Apabila anda dengar nama seperti Nokia, Toyota dan Sony, apakah perkara pertama hadir dalam minda anda? Mungkin kebolehpercayaan. Mungkin kualiti. Mungkin juga teknologi canggih.

Tag atau label yang anda letakkan kepada jenama-jenama yang disebut di atas adalah hasil dari usaha penjenamaan yang berkesan oleh syarikat-syarikat tersebut. Anda juga boleh membina jenama anda yang tersendiri. Tanggapan pengguna terhadap jenama produk anda akan mempengaruhi tingkah laku membeli mereka. Pengguna hari ini menilai sesuatu produk bukan semata-mata atas dasar harga. Pengguna mahukan kualiti, jaminan kerosakan, perkhidmatan kelas pertama, fungsi yang praktikal dan banyak lagi.

Oleh itu, fikirkanlah apa yang anda mahu pengguna kaitkan apabila mendengar jenama produk anda. Rancang juga apa kelainan yang anda boleh tonjolkan berbanding jenama-jenama lain yang telah berada di dalam pasaran. Anda boleh menggunakan salah satu daripada 6 kaedah penjenamaan berikut:

1. Menjenamakan syarikat anda. Produk anda hanya dikenali dengan angka dan nombor. Syarikat pengeluar telefon yang biasanya menggunakan kaedah ini. Contohnya, Sony Ericsson W700, Nokia N91 dan sebagainya.

2. Menjenamakan produk anda sahaja. Melalui kaedah ini anda hanya menjenamakan produk anda. Syarikat anda tidak dinyatakan bersama produk anda.

3. Menjenamakan produk yang disertakan dengan nama syarikat. Namun, nama syarikat tidak ditonjolkan sangat, hanya dalam tulisan kecil. Contoh produk yang menggunakan kaedah penjenamaan ini adalah syarikat Johnson & Johnson.

4. Menjenamakan produk bersama syarikat. Contohnya anda meletakkan produk anda di belakang nama syarikat anda seperti Ahmad's Pau atau Pah's Pizza.

5. Penggabungan nama syarikat dan produk. Contoh yang paling klasik adalah Nescafe'. Syarikat Nestle' mengeluarkan kopi (coffee) berjenama Nescafe'.

6. Penjenamaan syarikat beserta produk. Dalam kaedah ini syarikat dijenamakan dan produk juga dijenamakan. Misalnya, Acer Aspire. Acer adalah syarikat pengeluar sedangkan Aspire adalah produk laptop.

Apakah pilihan penjenamaan anda?

Thursday, October 19, 2006

 

Selamat Menyambut Syawal

Alhamdulillah, nampaknya kita telah berada di 10 hari yang terakhir di bulan Ramadhan. Moga-moga keimanan kita semua telah bertambah berbanding setahun yang lalu. Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua warga muslim. Yang akan pulang ke kampung nanti, pandu dengan berhati-hati. Sehingga berjumpa lagi. Nantikan tips-tips bisnes selepas ini.

Wassalam.

Sunday, October 08, 2006

 

Perangkap keusahawanan

Salam,

Salah satu kesilapan yang paling banyak dilakukan oleh mereka yang telah memasuki bidang bisnes ialah menyangka bahawa jika mereka tahu suatu kemahiran teknikal, mereka juga tahu menjalankan bisnes yang berkaitan kerja teknikal tersebut. Contohnya, seorang mekanik akan berjaya jika membuka sebuah bengkel membaiki kereta atau seorang peguam boleh berjaya apabila membuka firma guamannya sendiri. Hakikatnya ramai yang kebingungan setelah bisnes yang diharap-harapkan menjana pendapatan lumayan akhirnya 'karam' bersama impian mereka.

Mengapa hal ini terjadi? Anda perlu ingat bahawa menjadi seorang juru teknik tidak sama dengan menjadi ahli perniagaan. Perwatakan seorang usahawan berbeza sama sekali dengan perwatakan seorang juru teknik. Seorang usahawan biasanya berpandangan jauh, bijak mencipta dan mengambil peluang serta seorang yang berfikiran kreatif. Manakala seorang juru teknik adalah seorang yang berfikiran logik dan memberi fokus kepada apa yang ada di depan mata. Seorang juru teknik yang baik tidak cukup untuk membina sebuah bisnes yang berjaya.

Maka, bagaimana seorang juru teknik hendak menjadi seorang usahawan? Secara ringkas, saya dapat menyimpulkan bahawa untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya, kuncinya adalah ilmu berniaga. Anda perlu mempelajari konsep bisnes, strategi pemasaran dan banyak lagi hal-ehwal berkaitan bisnes. Saya akan huraikan secara terperinci pada topik akan datang... Jangan ketinggalan!

Friday, September 22, 2006

 

Sikap terburu-buru

Salam,

Semua orang hendak jadi kaya. Saya pun hendak jadi kaya. Saya yakin anda juga mahu jadi kaya. Bagaimana caranya? Ada pelbagai cara hendak mendapatkan duit. Bagi orang Islam, Nabi dah berjanji bahawa 9/10 punca rezeki adalah melalui bisnes. Ini adalah kenyataan.

Oleh kerana realiti ini, ramai orang yang tiba-tiba mendapat motivasi untuk jadi 'the next millionaire'. Maka, berlumba-lumbalah mereka memasuki bidang bisnes (termasuk saya). Malangnya tidak sampai 1 tahun, 9 daripada 10 orang yang bermotivasi tadi terus tutup kedai. Daripada angan-angan nak jadi kaya, akhirnya hanya hutang yang berjaya ditambah.

Yang bertahan tu, hanya dapat bertahan untuk 5 tahun pertama. Daripada jumlah ini, lebih 80% gagal meneruskan perjuangan sebagai usahawan. Mengapa hanya sebilangan kecil sahaja yang 'survive' dalam dunia bisnes? Nak kata tak usaha keras, dah habis kederat dikerjakan bisnes tu. Apa lagi yang tak kena?

Jawapan kepada persoalan bagi beribu-ribu orang yang pernah memasuki dunia bisnes ini ialah kombinasi sikap, teknik dan disiplin diri.

Sikap yang betul+Teknik berkesan+Disiplin kerja=bisnes yang berjaya.

Biar saya jelaskan, setiap orang daripada kita pernah berkata dalam hati kecil masing-masing,"Buat apa aku bertungkus lumus bekerja untuk orang lain? Aku ada kemahiran, pengalaman dan pengetahuan. Daripada mengkayakan orang, baik aku buka bisnes sendiri!" Motivasi dalam diri kita membara untuk punyai bisnes sendiri dan jadi kaya-raya melalui bisnes tersebut. Semangat yang membara inilah yang akhirnya membuatkan kita berhenti kerja, mengambil pinjaman bank dan apa sahaja langkah yang berpatutan untuk buka bisnes sendiri.

Sebenarnya, semangat membara inilah yang akhirnya menjadi jerat dalam bisnes. Jangan bersikap terburu-buru. Berfikir secara mendalam, rancang masa depan dengan teliti dan dapatkan khidmat nasihat daripada pakar terlebih dahulu. Sifat terburu-buru inilah antara punca 9/10 usahawan bumiputra tidak dapat meneruskan bisnes selepas setahun.

Bersambung...

Thursday, September 14, 2006

 

Adab usahawan Muslim

Salam,

Sebagai usahawan Muslim , anda perlu mempunyai identiti diri yang dapat membezakan anda daripada para kapitalis yang hanya mementingkan diri sendiri. Dalam setiap gerak kerja dan aktiviti muamalat, serlahkan ketinggian akhlak dan kematangan dalam berniaga.

Dalam bisnes, kita tidak dapat lari dari berurusan dengan pelanggan atau peniaga lain yang terdiri dari pelabagai latar belakang dan gaya hidup. Kepelbagaian inilah yang akan menguji anda, sebagai seorang usahawan Muslim, melalui cara anda menyelesaikan konflik.

Saya mahu berkongsi pengalaman saya berhadapan dengan kerenah peniaga lain. Saya pernah membuka gerai di sebuah pasaraya sekitar Shah Alam. Saya telah membayar sejumlah wang untuk menyewa ruang gerai yang kosong bagi tempoh sebulan. Sehinggalah pertengahan bulan, saya diminta bertukar ke sebuah gerai lain yang berhampiran dengan alasan ada seorang peniaga lain mahu berniaga di tapak gerai yang saya duduki.

Permasalahan timbul apabila tapak gerai baru yang sepatutnya saya masuki telah dipenuhi dengan barangan pegerai lain. Maka saya hanya ada separuh sahaja ruang untuk memuatkan produk saya. Dari satu sudut, saya telah diberi layanan kelas kedua, malah adalah hak saya untuk menduduki sebuah tapak, bukan separuh tapak. Usaha untuk menyelesaikannya juga tidak menampakkan perkembangan positif.

Dalam hal ini, saya boleh berdengki, berkeras menuntut hak saya atau menimbulkan ketegangan dengan pemilik tapak dan penggerai baru. Tetapi saya memilih untuk memberi ruang, walaupun saya mengalami sedikit kerugian. Rasionalnya, memelihara kesatuan dan keharmonian di antara peniaga-peniaga di situ adalah lebih utama. Seorang perlu beralah dan bertolak ansur.

Dalam membuat pertimbangan, cuba untuk melihat gambaran yang lebih besar. Jangan terlalu emosional dan mementingkan diri. Allah kan Maha Adil? Jika saya tidak beroleh keuntungan di dunia, insya Allah, di akhirat saya tetap mendapat 'bahagian' saya.

Wednesday, September 06, 2006

 

Baget pemasaran

Salam,

Akhirnya, saya berjaya 'squeeze'kan diri untuk menulis beberapa baris ayat dalam blog saya ni. Sebagaimana catatan-catatan terdahulu, saya menulis sesuatu berdasarkan pengalaman dan apa yang saya belajar. Maka kali ni, saya hendak berpesan berkenaan baget pemasaran atau marketing budget.

Sama ada anda baru hendak berniaga atau telah lama berniaga (sepatutnya dah tahu tentang apa yang bakal saya perkatakan), bahagian baget yang paling penting adalah baget pemasaran. Daripada aktiviti pemasaranlah anda dapat menjana sebahagian besar income. Dalam suasana ekonomi yang kurang mantap, jangan sewenang-wenangnya memotong baget pemasaran anda. Memotong baget pemasaran anda secara sembrono akan menyebabkan income anda juga terjejas.

Dalam jangka masa panjang, usaha anda untuk mengurangkan perbelanjaan dalam pemasaran boleh mengakibatkan bisnes anda merudum. Ini kerana akhirnya pendapatan anda akan kurang daripada perbelanjaan anda, walaupun anda telah potong di sana dan trim di sini. Pokoknya, berhati-hati bila hendak mengurangkan baget pemasaran. Anda mungkin memotong pendapatan anda secara tidak sedar.

This page is powered by Blogger. Isn't yours?